Masjid Mesra Muda (3M) – Bahagian II


muda-mudi masjid as-syakirin

Muda-mudi Masjid as-Syakirin dalam kenangan

Seperti yang aku ulang-ulang di dalam tulisan yang lalu, yang datang ke surau atau masjid pada bulan Ramadhan memang berbondong-bondong. Kalian pun tahu. Yang ramai-ramai itu, mereka hadir bukan kerana dipaksa bapa mertua, bukan juga kerana bonus yang dijanjikan majikan dipejabat. Ramadhan yang memanggil mereka.

Allah yang menjemput mereka. Allah jua yang menghantar mereka.

Tetapi dalam kes-kes yang tidak berapa terpencil, ramai mendakwa disindir rakan-rakan dimasjid. Mereka baru sahaja melangkah sebelah kaki, masih banyak kekuatan yang perlu dibina untuk mengangkat kaki yang satu lagi. Itupun sudah dengar macam-macam yang tidak enak.

Ada sesetengah yang kecil hati kerana tidak diambil peduli. Datang masjid keseorangan, pulang masjid pun keseorangan. Rasa seperti tetamu yang tak diundang.

Orang Masjid Mulut Jahat?

Whoaa bukan itu maksud aku. Aku cuma berasa, ‘orang masjid/surau’ perlu melebihkan usaha dalam hal komunikasi. Aku banyak mengikuti program-program yang bertempat di masjid/surau. Alhamdulillah, Allah temukan aku dengan penghuni masjid/surau yang baik-baik belaka. Boleh aku kongsikan disini.

Secara umumnya, aku kategorikan surau/masjid kepada tiga (3). Surau/masjid milik sekolah, IPT, atau syarikat aku sudah ketepikan.

Kategori #1

Surau/masjid yang membela yang tua (BELA: sebut ‘seni BELA diri‘) dan meraikan si muda. Banyak surau/masjid yang berada dalam kategori ini. Pengalaman aku qiam beberapa kali di surau al-Mawaddah Shah Alam, ‘orang surau’ begitu meraikan kami yang sekadar datang-tidur ini. Aktiviti surau disertai golongan tua dan muda.

Di sebuah masjid di Damansara Utama, kami memohon untuk mengadakan kursus kemahiran al-Quran di masjid tersebut. Pihak masjid positif sahaja, malah bilal masjid sanggup tawarkan diri jadi pengajar (beliau sangat ramah ). Malah makanan berbuka kami juga disediakan pihak masjid secara percuma.

Aku tidak kenal dengan jawatankuasa Masjid As-Syarif Meru, kecuali sedikit. Tetapi aku tahu satu perkara, mereka ada Pemuda Masjid As-Syarif, dan boleh tahan aktif. Ruang yang pihak masjid beri pada golongan muda malah memudahkan lagi usaha dakwah. Ini pautan ke laman sesawang Masjid As-Syarif.

Juga di sebuah masjid Wangsa Maju, dan beberapa tempat lagi yang pada aku memang dingin (cool) pernah aku lawat. Mereka mesra, dan mereka melaksanakan tanggungjawab dakwah bil-hal.

Kategori #2

Ada jawatankuasa masjid/surau yang aktivitinya berjalan, cukup dengan kuliah-tazkirah-carromYassin sepanjang tahun. Alhamdulillah. Cuma bezanya, masjid/surau ini ada ‘keahlian’.

‘Keahlian’ yang bagaimana?

Maaflah, aku terpaksa nyatakan. Sebenarnya masjid begini sedikit sekali, tapi begini sisi kekurangannya:

  • Tabung masjid dibelanjakan untuk hanya golongan umur tertentu.
  • Menjemput penceramah tertentu, atas kepentingan politik tertentu.
  • Hampir setiap aktiviti yang dijalankan hanya disasarkan pada golongan-golongan yang sama.

Alhamdulillah ada usaha membangunkan masjid, tetapi cuma sedikit sekali yang mendapat manfaat. Akhirnya, masjid/surau tidak menjadi pusat penyatuan umat.

Kategori #3

Ini kategori paling teruk, memang mengundang kemurkaan Allah.

Aku tulis, siapa mahu marah, marahlah.

Ada sesetengah pihak masjid yang menggunakan wang peruntukan untuk kepentingan masing-masing. Malah, jika berlaku, ia berlaku berulang-ulang kali.

Penyelewengan!

Astaghfirullahal adzim. Golongan begini, elok sahaja diganti dengan orang-orang yang ikhlas. Mereka ini naik menjadi jawatankuasa masjid hanya kerana orang lain (iaitu saya, anda, kita) tak ambil peduli hal masjid. Jadi, pakcik-pakcik, makcik-makcik, abang-abang dan kakak-kakak, marilah kita imarahkan masjid.

Dengkinya aku, masjid yang hebat disana, imam warak disini, makmum ramah disitu. Mengapa tidak disemua tempat?


masjid - keratan akhbar

kredit: kalamkhalifah.com

Oleh Zahiruddin Zabidi

TAHNIAH kepada pihak pengurusan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam atas keterbukaan dan kesediaan menerima idea-idea baru dalam memastikan syiar Islam terus berkembang dan ilmu-ilmunya terus tersebar memberikan pencerahan kepada umat Islam.

Bermula pada bulan lepas, pihak pengurusan masjid melalui pegawainya, Ustaz Firdaus bin Syubhi dengan kerjasama penerbit buku-buku berbahasa Melayu/ Islam dari Batu Caves, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd melakukan satu tranformasi dan anjakan paradigma dalam siri kuliah Subuh di masjid itu pada setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan.

Menjadi kebiasaan pada setiap hari Sabtu selepas Subuh pada hujung minggu, masjid tersebut akan mengadakan siri kuliah Subuh yang dinamakan Kuliah Ad-Din dengan format kuliah biasa. Namun bermula bulan sudah, pihak masjid meluluskan sebuah proposal dan memberikan ruang kepada program dan format baru menggantikan kuliah Subuh iaitu Kuliah Buku.

Cadangan kepada Kuliah Buku muncul apabila pihak editor PTS Islamika Sdn Bhd memikirkan perlunya suatu program yang lebih bersifat ilmiah dan di luar kotak bagi menggantikan sistem kuliah sedia ada yang agak tipikal. Kuliah Buku menggunakan format bedah buku yang mana para penulis buku yang berkrebiliti terdiri daripada para pengkaji, penceramah dan pensyarah universiti akan dijemput bagi membicarakan mengenai proses pembukuan dan isi buku mereka itu.

Ia juga dalam masa yang sama akan menggalakkan budaya membaca dengan memperkenalkan penulis buku sendiri, menjadi kebiasaan hadirin akan lebih yakin bagi memiliki sesebuah buku apabila mereka kenal dan dengar sendiri mengenai buku tersebut daripada penulisnya, apatah lagi penulis buku-buku itu adalah tokoh yang berkrebiliti.

Setakat ini, dua buah buku dengan penampilan dua orang penulis berkredibiliti dengan jayanya sudah berlangsung. Penulis buku Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh, Ustaz Syaari Abdul Rahman yang merupakan calon sarjana sejarah UIAM dan penulis buku Tuhan Untuk Semua, Mohd Faisal Abdurrahman yang merupakan calon PhD dalam bidang Bioteknologi di UKM. Beliau yang petah berbahasa dan menulis dalam bahasa Melayu sebenarnya adalah rakyat Acheh, Indonesia.

Ternyata program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada jemaah masjid dan ia boleh dianggap sebagai nafas baru dalam modus operandi kuliah-kuliah di masjid. Kita berharap program ini mendapat perhatian daripada pihak masjid-masjid lain di seluruh tanah air khususnya di sekitar Lembah Kelang dan mula mengaktifkannya paling kurang sebulan sekali dan pihak penerbit pasti akan berbesar hati menerima jemputan kerjasama daripada pihak masjid.

Program ini juga boleh dianggap sebagai suatu tamaparan hebat kepada institusi pengajian awam yang dilihat semakin lesu budaya kelilmuannya malah jika ditanya kepada para pelajar tahun pertama mungkin tiada yang bercita-cita mahu menjadi penulis. Malah mereka mungkin terpinga-pinga apabila ditanya apakah itu program bedah buku.

Sewajarnya budaya membaca buku (bukan sahaja buku rujukan bagi menjawab soalan peperiksaan) wajar menjadi darah daging di universiti dan acara bedah buku anjuran fakulti atau jabatan malah oleh pelajar sendiri perlu disemarakkan dan menjadi acara wajib paling kurang seminggu sekali di mana-mana kolej kediaman, fakulti mahupun dalam kumpulan persatuan.

Kita mengharapkan acara bedah buku menjadi suatu budaya dan acara wajib bagi diperwariskan kepada generasi mendatang bagi menjamin keutuhan ketamadunan Islam tanah air. Pastinya ia perlu bermula daripada univerisiti dan masjid sebagai meneladeni budaya keintelektualan Islam suatu ketika dahulu. Tahniah sekali lagi kepada pihak pengurusan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Tidak mustahil Baitul Hikmah zaman Khilafah Abbasiyah akan menjelma kembali andai semua masjid dan universiti menyabut seruan ini.

Idea yang boleh tahan hebat!

2 thoughts on “Masjid Mesra Muda (3M) – Bahagian II

Selesai membaca? Tinggalkan komen anda =)