“Kita akan iring VIP dari sini sampai ke sini”, Mahmud (bukan nama sebenar) membentang perancangan.
Gaya tangannya, bukan main.
“Usher! Aku nak usher yang lawa-lawa untuk jalan dengan VIP nanti”, kata Mahmud. Saya kurang selesa.
Mahmud adalah kawan saya yang ditugaskan untuk menjayakan program di Taman Perumahan kami. Saya turut serta untuk membantu. Cuma bila sampai ke bahagian ‘usher lawa-lawa’ tu, saya keliru. Persoalan demi persoalan timbul. Tapi saya diamkan.
Allah beri saya peluang belajar, saya menyertai pelbagai aktiviti, organisasi, dan saya bertemu dengan isu-isu yang hampir sama.
“Aku lantik bahagian tajaan ni yang lawa-lawa, tapi dorang tak pandai la menggunakan ke’lawa’an dorang“, kata seorang ketua kepada saya.
Gadis-gadis dibahagian tajaan itu sendiri pasti tidak tahu mereka dipilih kerana lawa. Mereka Muslim, menutup aurat, dan boleh saya katakan mereka tidak berhias berlebihan.
Lalu timbul pertanyaan, bolehkah menggunakan kecantikan wanita untuk menambah keberkesanan kerja/tugas? Bagaimana dengan iklan-iklan di televisyen? Bagaimana jika menutup aurat? Ah pening sebentar.
…
Minggu lepas, saya berkesempatan untuk menghadiri Konvensyen Fiqh (K-Fiqh): Wanita dan Islam. Ramai asatizah yang hadir untuk pembentangan. Alhamdulillah, banyak ilmu baru yang saya pelajari.
Saya paling tertarik dengan pembentangan Ustaz Hasrizal yang bertajuk, Serikandi Sahabat Dihati Gadis Masa Kini. Ustaz membentangkan tentang wanita dari ketamadunan Mesopotamia, peranan muslimat dari zaman Rasulullah, ruang-ruang keterlibatan para sahabiyat, dan kesimpulan yang cukup cantik.

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [at-Taubah, 9:71]
!["... janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu ... " [al-Ahzab:33]](http://maharajaserius.files.wordpress.com/2013/01/al-ahzab-33.jpg?w=600)
“… janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu … ” [al-Ahzab:33]
Bagaimana yang dikatakan ‘tabarruj jahiliyyah‘ ?
Wanita zaman Jahiliyyah dahulu (dan jahiliah moden kini) dinilai berdasarkan perhiasannya. Status wanita hanyalah bagaimana mereka menarik perhatian. Tidak lebih dari itu.
Islam memuliakan wanita lebih dari itu. Wanita (Muslimah) dinilai kepada pengetahuan mereka, kualiti kerja, kompetensi, kerana wanita juga punyai ruang beramal soleh. Begitu yang dituntut dalam surah al-Mulk ayat 2.
Maka, seharusnya Muslimah moden tidak perlu terkejar-kejar dengan tuntutan fesyen. Berhias dengan taqwa, bukan dengan nafsu.
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu [al-Hujurat:13]
Mungkin, contoh yang baik ialah seperti watak Husna dalam KCB. Bekerjaya, dan dikenali kerana akhlak dan bakatnya dalam kerjaya.
Muslimah, moga kau tak kecundang dengan dunia.
*Muslimah nyanyian Nazrey Johari buat para Muslimah.

ok bersambung….